Salam dan hola da divaz,
Hari ni ada 1 lg kisah yg Cik Baba nak syer dengan semua.... kisah ni CB (Cik Baba) ambil dari novel I Love You Stupid by Melur Jelita.... Pada yg berminat sila baca ye.....
saya bukan orang yang layak bercakap mengenai agama kerana saya hanya orang biasa. Tetapi kerana ada pertanyaan divaz yang ingin penjelasan lanjut dari post saya semalam maka pada pagi ini saya ingin menerangkan lebih lanjut berdasarkan pengetahuan saya yang sedikit ini. Divaz berkenaan berminat mengetahui mengenai kelebihan bangun solat di tengah malam atau bahasa yang selalu digunakan " QIAMUL LAIL ".
“ Dentingannya juga adalah bisikan rindu Allah yang sentiasa menyeru, bangkitlah wahai anak Adam, sempurnakan hak Aku. Paling kurang, bangun berwuduk menunaikan Solat Sunat dua rakat , lepas tu tidurlah semula. Sesiapa yang terjaga di tengah malam ia adalah anugerah dari Allah, dikejutkan oleh malaikat, manusia terpilih..yang dikasihi Allah untuk bangun bersama-Nya. Mencintai dan merindui-Nya. Paling kurang, jika malas sangat, hanya sekadar berdoa walaupun sedikit . Cukuplah dengan beristighfar , alhamdulillah atau menyebut nama Allah. Rahsia salah seorang sahabat Rasulullah yang mempunyai wajah yang amat jernih dan dikagumi oleh sahabat-sahabat yang lain sehingga salah seorang menumpang tidur di rumahnya kerana ingin mengetahui rahsia ibadah pemuda tersebut . Tidak ada apa-apa yang berlaku. Pemuda itu tidak bangun untuk qiamulail atau beribadah sepanjang malam..dia tidur dengan nyenyak..hanya sekali-sekala berkalih tidur. Setiap kali dia berkalih, pemuda itu akan menyebut Allah . Rupanya itu rahsianya. Esok pagi, sahabat ini bertanya kepada pemuda ini, apalagi yang kamu lakukan pada waktu malam. Jawab pemuda itu , tiada apa-apa hanya sebelum tidur, aku maafkan semua orang.. ”
* Petikan My Precious Iris
Banyak kelebihan bagi mereka yang bangun di tengah malam untuk beribadah.
Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Sembahyang Tahajjud” padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Isra’: 79)
Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam”.
(Surah al-Insan :26)
Rasulullah sallahu alaihi wassalam sangat menggalakkan umatnya bangun beribadah di tengah malam dengan baginda sendiri sangat bersungguh-sungguh mengerjakannya. Ini dibuktikan dengan hadis dari Siti Aisyah RA yang bermaksud:
“Bahawa Rasulullah s.a.w. bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak ke dua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah s.a.w lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian?. Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”
(Muttafaq ‘Alaih)
Saya percaya ramai di kalangan divaz yang kadang-kadang ada masanya gelisah di waktu tidur, rasa panas atau tak boleh lena. Alangkah ruginya jika hanya membiarkan kegelisahan itu berterusan sehingga ke waktu Subuh. Sebenarnya ada sebab-sebabnya kenapa divaz tak boleh lena. Di antaranya kerana:
1. Mendapat jentikan kalbu dari Allah swt agar bangun beribadah walaupun sekejap.
2. Ada anugerah yang ingin dikurniakan Allah swt kepada hamba-Nya yang terpilih.
Anugerah itu mungkin jodoh yang beriman, kesihatan yang baik, rezeki , ilmu yang diberkati, kesejahteraan , keselamatan dan sebagainya.
3. Ada ilmu sihir, gangguan atau perancangan jahat , dengki khianat dari manusia, jin atau syaitan untuk merosakkan kita ketika itu. Ada yang percaya, perbuatan menyihir atau gangguan sangat kuat di antara jam 12 tengah malam - 5 pagi.Dengan bangun beribadah di waktu malam, kita telah memasang pendinding diri dengan mendekatkan diri kepada Allah swt dan memohon perlindungan-Nya. Secara tidak langsung, kita telah menggagalkan rancangan jahat itu.
4. Waktu yang paling mustajab doa seorang hamba kepada Allah swt. Mungkin rezeki untuk anda, apa yang anda doa di waktu ini ( DOA YANG BAIK-BAIK) serta merta dimakbulkan Allah swt sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Maksudnya:
“Pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah s.w.t. meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam”.
(Riwayat Muslim)
5. Jauh dari sikap riak dan ujub kerana di waktu ini, tiada siapa yang melihat kita beribadah. Ia private and confidential di antara kita sebagai hamba dengan Allah swt.
6. Saat yang paling syahdu di antara " keabdian' seorang hamba dengan Allah swt.
Kita berbicara dengan Allah swt tanpa manusia lain, hanya kita dan DIA.
7. Jiwa mereka yang sentiasa mengerjakan qiamul lail..sangat kental, tabah, tenang dan sabar. Ya sabar tentunya kerana bukan mudah untuk seorang manusia untuk bangkit dari katilnya yang enak dan hangat semata-mata untuk menghadap Allah swt. Tentu saja memerlukan kepada orang yang sabar dan sentiasa istiqomah melakukannya sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:
“Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya”.
(Surah al-Muzammil:16)
8. Banyak lagi kelebihannya. Bangunlah dan bertasbihlah...anda akan merasakan sendiri apa yang saya kongsi di sini dan mungkin lebih lagi.
9. Jika tidak mampu, cukuplah hanya dengan menyebut nama Allah ketika sedar dan tidurlah semula.
10. Biasakan diri, lakukan sedikit demi sedikit, insyaALLAH, anda akan mampu menunaikannya lebih dari yang anda sangka.
11. Tidak perlu diwar-warkan kepada manusia lain anda bangun malam untuk beribadah. Itu riak dan takbur namanya. Ibadah, ujian dan nikmat yang kita perolehi Allah, rahsia kita dengan-Nya.
12. Jangan pula kerana kita berqiamul lail menjadikan kita mengantuk dan malas di waktu kerja. Bila orang tanya kenapa letih, kita jawab,
" sebab aku bangun tahajud semalam."
Itu sudah jadi fitnah kepada agama.
13. Qiamul lail bukan alasan untuk mengantuk dan bermalas-malasan.
14. Anda sudah mengabaikan tanggungjawab yang hakiki iaitu bekerja untuk mencari nafkah dan bertanggungjawab dengan amanah yang diberi.
15. Pandai-pandailah mengimbangkan diri di antara dunia dan akhirat, kemampuan diri dan keutamaan.
16. Jadilah seperti sahabat-sahabat Rasulullah sallahu alaihi wassalam.
Mereka beribadah di waktu malam seperti seorang abid dan mereka berjuang ( bekerja) di waktu siang seperti seekor singa.
Anda juga boleh terus menunaikan ibadah sunat sebelum tidur. Atau tidak semestinya menunggu jam 3 pagi baru tunaikan qiamullail. Baring sekejap, jika masih belum lena, terus saja bangun dan beribadah setakat yang mampu. Atau jika anda sudah berniat untuk qiamullail tetapi terlena sampai pagi, itu sudah rezeki anda. Pahala qiamullail sudah anda dapat tapi jangan diamalkan selalu. Niat nak buat qiamullail tetapi tak buat. Itu menipu namanya. Allah tahu niat sebenar kita maka berhati-hatilah.
Akhirat dikendong, dunia dikejar.
Wallahu 'alam.
* Ingin lebih kepastian atau pengesahan, sila rujuk kepada mereka yang pakar dalam agama.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan