Isnin, 24 Jun 2013

"QIAMUL LAIL"

Salam dan hola da divaz,




Hari ni ada 1 lg kisah yg Cik Baba nak syer dengan semua.... kisah ni CB (Cik Baba) ambil dari novel I Love You Stupid by Melur Jelita.... Pada yg berminat sila baca ye.....


saya bukan orang yang layak bercakap mengenai agama kerana saya hanya orang biasa. Tetapi kerana ada pertanyaan divaz yang ingin penjelasan lanjut dari post saya semalam maka pada pagi ini saya ingin menerangkan lebih lanjut berdasarkan pengetahuan saya yang sedikit ini. Divaz berkenaan berminat mengetahui mengenai kelebihan bangun solat di tengah malam atau bahasa yang selalu digunakan " QIAMUL LAIL ".

“ Dentingannya juga adalah bisikan rindu Allah yang sentiasa menyeru, bangkitlah wahai anak Adam, sempurnakan hak Aku. Paling kurang, bangun berwuduk menunaikan Solat Sunat dua rakat , lepas tu tidurlah semula. Sesiapa yang terjaga di tengah malam ia adalah anugerah dari Allah, dikejutkan oleh malaikat, manusia terpilih..yang dikasihi Allah untuk bangun bersama-Nya. Mencintai dan merindui-Nya. Paling kurang, jika malas sangat, hanya sekadar berdoa walaupun sedikit . Cukuplah dengan beristighfar , alhamdulillah atau menyebut nama Allah. Rahsia salah seorang sahabat Rasulullah yang mempunyai wajah yang amat jernih dan dikagumi oleh sahabat-sahabat yang lain sehingga salah seorang menumpang tidur di rumahnya kerana ingin mengetahui rahsia ibadah pemuda tersebut . Tidak ada apa-apa yang berlaku. Pemuda itu tidak bangun untuk qiamulail atau beribadah sepanjang malam..dia tidur dengan nyenyak..hanya sekali-sekala berkalih tidur. Setiap kali dia berkalih, pemuda itu akan menyebut Allah . Rupanya itu rahsianya. Esok pagi, sahabat ini bertanya kepada pemuda ini, apalagi yang kamu lakukan pada waktu malam. Jawab pemuda itu , tiada apa-apa hanya sebelum tidur, aku maafkan semua orang.. ”

* Petikan My Precious Iris

Banyak kelebihan bagi mereka yang bangun di tengah malam untuk beribadah. 

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Sembahyang Tahajjud” padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.

(Surah al-Isra’: 79)

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam”.

(Surah al-Insan :26)

Rasulullah sallahu alaihi wassalam sangat menggalakkan umatnya bangun beribadah di tengah malam dengan baginda sendiri sangat bersungguh-sungguh mengerjakannya. Ini dibuktikan dengan hadis dari Siti Aisyah RA yang bermaksud:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak ke dua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah s.a.w lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian?. Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”

(Muttafaq ‘Alaih)

Saya percaya ramai di kalangan divaz yang kadang-kadang ada masanya gelisah di waktu tidur, rasa panas atau tak boleh lena. Alangkah ruginya jika hanya membiarkan kegelisahan itu berterusan sehingga ke waktu Subuh. Sebenarnya ada sebab-sebabnya kenapa divaz tak boleh lena. Di antaranya kerana:

1. Mendapat jentikan kalbu dari Allah swt agar bangun beribadah walaupun sekejap.

2. Ada anugerah yang ingin dikurniakan Allah swt kepada hamba-Nya yang terpilih.
Anugerah itu mungkin jodoh yang beriman, kesihatan yang baik, rezeki , ilmu yang diberkati, kesejahteraan , keselamatan dan sebagainya.

3. Ada ilmu sihir, gangguan atau perancangan jahat , dengki khianat dari manusia, jin atau syaitan untuk merosakkan kita ketika itu. Ada yang percaya, perbuatan menyihir atau gangguan sangat kuat di antara jam 12 tengah malam - 5 pagi.Dengan bangun beribadah di waktu malam, kita telah memasang pendinding diri dengan mendekatkan diri kepada Allah swt dan memohon perlindungan-Nya. Secara tidak langsung, kita telah menggagalkan rancangan jahat itu.

4. Waktu yang paling mustajab doa seorang hamba kepada Allah swt. Mungkin rezeki untuk anda, apa yang anda doa di waktu ini ( DOA YANG BAIK-BAIK) serta merta dimakbulkan Allah swt sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Maksudnya:

“Pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah s.w.t. meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam”.

(Riwayat Muslim)

5. Jauh dari sikap riak dan ujub kerana di waktu ini, tiada siapa yang melihat kita beribadah. Ia private and confidential di antara kita sebagai hamba dengan Allah swt.

6. Saat yang paling syahdu di antara " keabdian' seorang hamba dengan Allah swt.
Kita berbicara dengan Allah swt tanpa manusia lain, hanya kita dan DIA.

7. Jiwa mereka yang sentiasa mengerjakan qiamul lail..sangat kental, tabah, tenang dan sabar. Ya sabar tentunya kerana bukan mudah untuk seorang manusia untuk bangkit dari katilnya yang enak dan hangat semata-mata untuk menghadap Allah swt. Tentu saja memerlukan kepada orang yang sabar dan sentiasa istiqomah melakukannya sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya”.

(Surah al-Muzammil:16)

8. Banyak lagi kelebihannya. Bangunlah dan bertasbihlah...anda akan merasakan sendiri apa yang saya kongsi di sini dan mungkin lebih lagi.

9. Jika tidak mampu, cukuplah hanya dengan menyebut nama Allah ketika sedar dan tidurlah semula.

10. Biasakan diri, lakukan sedikit demi sedikit, insyaALLAH, anda akan mampu menunaikannya lebih dari yang anda sangka.

11. Tidak perlu diwar-warkan kepada manusia lain anda bangun malam untuk beribadah. Itu riak dan takbur namanya. Ibadah, ujian dan nikmat yang kita perolehi Allah, rahsia kita dengan-Nya.

12. Jangan pula kerana kita berqiamul lail menjadikan kita mengantuk dan malas di waktu kerja. Bila orang tanya kenapa letih, kita jawab, 

" sebab aku bangun tahajud semalam."

Itu sudah jadi fitnah kepada agama.

13. Qiamul lail bukan alasan untuk mengantuk dan bermalas-malasan.

14. Anda sudah mengabaikan tanggungjawab yang hakiki iaitu bekerja untuk mencari nafkah dan bertanggungjawab dengan amanah yang diberi.

15. Pandai-pandailah mengimbangkan diri di antara dunia dan akhirat, kemampuan diri dan keutamaan.

16. Jadilah seperti sahabat-sahabat Rasulullah sallahu alaihi wassalam.

Mereka beribadah di waktu malam seperti seorang abid dan mereka berjuang ( bekerja) di waktu siang seperti seekor singa.

Anda juga boleh terus menunaikan ibadah sunat sebelum tidur. Atau tidak semestinya menunggu jam 3 pagi baru tunaikan qiamullail. Baring sekejap, jika masih belum lena, terus saja bangun dan beribadah setakat yang mampu. Atau jika anda sudah berniat untuk qiamullail tetapi terlena sampai pagi, itu sudah rezeki anda. Pahala qiamullail sudah anda dapat tapi jangan diamalkan selalu. Niat nak buat qiamullail tetapi tak buat. Itu menipu namanya. Allah tahu niat sebenar kita maka berhati-hatilah.

Akhirat dikendong, dunia dikejar.

Wallahu 'alam.

* Ingin lebih kepastian atau pengesahan, sila rujuk kepada mereka yang pakar dalam agama.

Ahad, 23 Jun 2013

Salam sahabat - sahabat ku sekalian...
Saya ada sebuah kisah yg ingin saya kongsikan dengan semua. Mungkin ada diantara sahabat yg telah membaca atau mendengar kisah ini...tp bg diri saya ini kali pertama saya mengetahuinya...dan saya ingin berkongsi dengan semua... Harap kita dapat memahami apa yg tersirat dan tersurat dari kisah ini. Petikan ini saya ambil dari FB Melur Jelita iaitu seorang penulis novel yg terhebat dan sangat saya kagumi kerana beliau berdakwah melalui tulisannya dan penuh dgn kisah kasih sayang dan cinta yang sebenar - benarnya cinta....


SAAT-SAAT TERAKHIR RASULULLAH SALLAHU ALAIHI WASSALAM

Diriwayatkan bahawa surah Al-Maidah ayat 3 diturunkan pada sesudah waktu asar yaitu pada hari Jumaat di Padang Arafah pada musim haji penghabisan (Wada'). Pada masa itu Rasulullah S.A.W berada di Arafah di atas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah S.A.W tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam aya
t tersebut. Kemudian Rasulullah S.A.W bersandar pada unta beliau dan unta beliau pun duduk perlahan-lahan. Setelah itu turun malaikat Jibril a.s dan berkata:

"Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang yang diperintahkan oleh ALLAH S.W.T dan demikian juga apa yang terlarang olehNya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu."

Setelah malaikat Jibril a.s pergi maka Rasulullah S.A.W pun berangkat ke Mekah dan terus ke Madinah. Setelah Rasulullah S.A.W mengumpulkan para sahabat beliau, maka Rasulullah S.A.W pun menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibril a.s.

Apabila para sahabat mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata:" Agama kita telah sempurna. Agama kita telah sempurna."

Apabila Abu Bakar r.a mendengar keterangan Rasulullah S.A.W itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya maka ia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar r.a menangis dari pagi hingga ke malam. Kisah tentang Abu Bakar r.a menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di depan rumah Abu bakar r.a dan mereka berkata:

" Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Seharusnya kamu merasa gembira sebab agama kita telah sempurna." 

Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat maka Abu Bakar r.a pun berkata: 

" Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ia menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah S.A.W. Hasan Husin menjadi yatim dan para isteri Nabi meenjadi janda."

Setelah mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a, maka sadarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar r.a, lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus memberitahu Rasulullah S.A.W tentang apa yang mereka lihat itu. Berkata salah seorang dari para sahabat, 

" Ya Rasulullah S.A.W, kami baru kembali dari rumah Abu Bakar r.a dan kami dapati banyak orang menangis dengan suara yang kuat di depan rumah beliau." 

Apabila Rasulullah S.A.W mendengar keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah S.A.W dan dengan bergegas beliau nenuju ke rumah Abu Bakar r.a. Setelah Rasulullah S.A.W sampai di rumah Abu Bakar r.a, maka Rasulullah S.A.W melihat kesemua mereka menangis dan bertanya, 

" Wahai para sahabatku, kenapa kamu semua menangis?" 

Kemudian Ali r.a berkata,

" Ya Rasulullah S.A.W, Abu Bakar r.a mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?" 

Lalu Rasulullah S.A.W berkata, 

" Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar r.a adalah benar, dan sesungguhnya waktu aku meninggalkan kamu semua telah dekat."

Setelah Abu Bakar r.a mendengar penjelasan Rasulullah S.A.W, maka ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan. Sementara Ukasyah r.a berkata kepada Rasulullah S.A.W, 

' Ya Rasulullah, waktu itu anda pukul tulang rusuk saya. Oleh itu saya hendak tahu apakah anda sengaja memukul saya atau hendak memukul unta Baginda."

Rasulullah S.A.W berkata: 

" Wahai Ukasyah, Rasulullah S.A.W sengaja memukul kamu."

Kemudian Rasulullah S.A.W berkata kepada Bilal r.a, 

" Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambillah tongkatku ke mari." 

Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan tangan di atas kepala dengan berkata, 

" Rasulullah S.A.W telah menyediakan dirinya untuk dibalas (di qishash)."

Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.ha menyahut dengan berkata:

" Siapakah di pintu?" 

Lalu Bilal r.a berkata:

" Saya Bilal, saya diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W untuk mengambil tongkat beliau."

Kemudian Fatimah r.a berkata:

" Wahai Bilal, untuk apa ayakhku meminta tongkatnya." 

Berkata Bilal r.a: 

" Wahai Fatimah, Rasulullah S.A.W telah menyediakan dirinya untuk di qishash." 

Bertanya Fatimah r.ha lagi:

" Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqishash Rasulullah S.A.W?" 

Bilal r.a tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.ha, Setelah Fatimah r.ha memberikan tongkat tersebut, maka Bilal pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah S.A.W. Setelah Rasulullah S.A.W menerima tongkat tersebut dari Bilal r.a maka beliau pun menyerahkan kepada Ukasyah.

Melihatkan hal yang demikian maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a tampil ke depan sambil berkata:

" Wahai Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah S.A.W, tetapi qishashlah kami berdua." 

Rasulullah S.A.W mendengar kata-kata Abu bakar dan Umar r.a maka dengan segera beliau berkata,

" Wahai Abu Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya ALLAH S.W.T telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua." 

Kemudian Ali r.a bangun lalu berkata,

" Wahai Ukasyah! Aku adalah orang yang selalu senantiasa berada di samping Rasulullah S.A.W, oleh itu pukullah aku dan janganlah menqishash Rasulullah S.A.W." 

Lalu Rasulullah S.A.W berkata,

" Wahai Ali duduklah kamu, sesungguhnya ALLAH S.W.T telah menetapkan tempatmu dan megetahui isi hatimu." 

Setelah itu Hasan dan Husin bangun dan berkata:

" Wahai Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah S.A.W, kalau kamu menqishash kami sama dengan kamu menqishash Rasulullah S.A.W." 

Mendengar kata-kata cucunya, Rasulullah S.A.W pun berkata:

" Wahai buah hatiku duduklah kamu berdua." 

Berkata Rasulullah S.A.W: 

"Wahai Ukasyah pukullah saya kalau kamu hendak memukul."

Kemudian Ukasyah berkata:

"Ya Rasulullah S.A.W, anda telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju." 

Maka Rasulullah S.A.W pun membuka baju. Setelah Rasulullah S.A.W membuka baju maka menangislah semua yang hadir. Setelah Ukasyah melihat tubuh Rasulullah S.A.W maka ia pun mencium beliau dan berkata, 

" Saya tebus anda dengan jiwa saya ya Rasulullah S.A.W, siapakah yang sanggup memukul anda. Saya melakukan begini adalah sebab saya ingin menyentuh badan anda yang dimuliakan oleh ALLAH S.W.T dengan badan saya. Dan ALLAH S.W.T menjaga saya dari neraka dengan kehormatanmu." 

Kemudian Rasulullah S.A.W berkata:

" Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya."

Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata, 

" Wahai Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah S.A.W di dalam syurga."

Apabila ajal Rasulullah S.A.W makin dekat maka beliau pun memanggil para sahabat ke rumah Aisyah r.a dan beliau berkata:

" Selamat datang kamu semua semoga ALLAH S.W.T mengasihi kamu semua, saya berwasiat kepada kamu semua agar kamu semua bertaqwa kepada ALLAH S.W.T dan mentaati segala perintahnya. Sesungguhnya hari perpisahan antara saya dengan kamu semua hampir dekat dan dekat pula saat kembali seorang hamba kepada ALLAH S.W.T dan menempatkannya di syurga. Kalau telah sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abbas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya. Setelah itu kafanilah aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki, atau kafanilah aku dengan kain Yaman yang putih. Apabila kamu memandikan aku, maka hendaklah kamu letakkan aku diatas balai tempat tidurku dalam rumahku ini. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar meninggalkan aku. Pertama yang mensolatkan aku ialah ALLAH S.W.T, kemudian yang akan mensolatkan aku ialah Jibril a.s, kemudian diikuti oleh malaikat Israfil, malaikat Mikail dan yang akhir sekali malaikat Izrail beserta dengan semua para pembantunya. Setelah itu baru kamu masuk bergantian secara berkelompok bersolat ke atasku."

Setelah para sahabat mendengar ucapan yang sungguh menyayat hati itu maka mereka pun menangis dengan nada keras dan berkata, 

" Ya Rasulullah S.A.W anda adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua, yang mana selama ini anda memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila anda sudah tiada nanti kepada siapakah akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?" 

Kemudian Rasulullah S.A.W berkata, 

" Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan aku telah tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai berbicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran dan Hadis-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan mengambil pelajaran dari mati."

Setelah Rasulullah S.A.W berkata demikian, maka sakit Rasulullah S.A.W bermula. Dalam bulan safar Rasulullah S.A.W sakit selama 18 hari dan sering diziarahi oleh para sahabat. Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa Rasulullah S.A.W diutus pada hari isnin dan wafat pada hari Isnin. Pada hari Isnin penyakit Rasulullah S.A.W bertambah berat, setelah Bilal r.a menyelesaikan azan subuh, maka Bilal r.a pun pergi ke rumah Rasulullah S.A.W.

Sesampainya Bilal r.a di rumah Rasulullah S.A.W maka Bilal r.a pun memberi salam, 

" Assalaamualaika ya Rasulullah S.A.W."

Lalu dijawab oleh Fatimah r.a,

" Rasulullah S.A.W masih sibuk dengan urusan beliau." 

Setelah Bilal mendengar penjelasan Fatimah r.a maka Bilal r.a pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah r.a. Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal r.a pergi sekali lagi ke rumah Rasulullah S.A.W dan memberi salam seperti permulaan tadi, kali ini salam Bilal r.a telah didengar oleh Rasulullah S.A.W dan berkata, 

" Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya penyakitku semakin berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat subuh berjemaah dengan mereka yang hadir." 

Setelah mendengar kata-kata Rasulullah S.A.W maka Bilal r.a pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangan di atas kepalanya dengan berkata,

" Aduh musibah."

Setelah Bilal r.a sampai di masjid maka Bilal r.a pun memberitahu Abu Bakar r.a tentang apa yang telah Rasulullah S.A.W katakan kepadanya. Abu Bakar r.a tidak dapat menahan dirinya apabila ia melihat mimbar kosong maka dengan suara keras Abu Bakar r.a menangis sehingga jatuh pengsan. Melihatkan peristiwa ini maka riuh rendah tangisan sahabat dalam masjid, sehingga Rasulullah S.A.W bertanya kepada Fatimah r.a, 

" Wahai Fatimah apakah yang telah berlaku?" Maka Fatimah r.a pun berkata, " Kekecohan kaum muslimin,sebab anda tidak pergi ke masjid." 

Kemudian Rasulullah S.A.W memanggil Ali r.a dan Fadhl bin Abbas r.a, lalu Rasulullah S.A.W bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke masjid. Setelah Rasulullah S.A.W sampai di masjid maka Rasulullah S.A.W pun bersolat subuh bersama dengan para jemaah.

Setelah selesai solat subuh maka Rasulullah S.A.W pun berkata, 

" Wahai kaum muslimin, kamu semua senantiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan ALLAH S.W.T, oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada ALLAH S.W.T dan mengerjakan segala perintahnya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia." 

Setelah berkata demikian Rasulullah S.A.W pun pulang ke rumah beliau. Kemudian ALLAH S.W.T mewahyukan kepada malaikat Izrail a.s, 

" Wahai Izrail, pergilah kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut ruhnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali. Apabila kamu pergi ke rumahnya maka minta izinlah terlebih dahulu, kalau ia izinkan kamu masuk, maka masuklah kamu kerumahnya dan kalau ia tidak mengizinkan kamu masuk maka hendaklah kamu kembali kepadaku."

Setelah mendapat perintah dari ALLAH S.W.T, maka malaikat Izrail pun turun dengan menyerupai orang Arab Badwi. Setelah malaikat Izrail sampai di depan rumah Rasulullah S.A.W, maka ia pun memberi salam, 

" Assalaamu alaikum yaa ahla baitin nubuwwati wa ma danir risaalati a adkhulu?" (Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu semua sekalian, wahai penghuni rumah Nabi dan sumber risaalah, boleh saya masuk?)

Apabila Fatimah mendengar orang memberi salam maka ia pun berkata, 

" Wahai hamba ALLAH, Rasulullah S.A.W sedang sibuk dan sebab sakitnya yang semakin berat."

Kemudian malaikat Izrail berkata lagi seperti permulaannya dan kali ini seruan malaikat itu didengar oleh Rasulullah S.A.W dan Rasulullah S.A.W bertanya kepada Fatimah,

" Wahai Fatimah, siapakah di depan pintu itu?" 

Maka Fatimah r.a pun berkata, 

" Ya Rasulullah, ada seorang Arab Badwi memanggilmu, dan aku telah katakan kepadanya bahawa anda sedang sibuk sebab sakit, sebaliknya dia memandang saya dengan tajam sehingga terasa menggigil badan saya." 

Kemudian Rasulullah S.A.W berkata, 

" Wahai Fatimah, tahukah kamu siapakah orang itu?" Jawab Fatimah, 

" Tidak, ayah."

" Dia adalah malaikat Izrail, malaikat yang akan memutuskan segala nafsu syahwat yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan memusnahkan semua rumah, serta meramaikan kubur."

Fatimah r.a tidak dapat menahan air matanya lagi setelah mengetahui saat perpisahan dengan ayahandanya akan berakhir, dia menangis sepuas-puasnya.

Apabila Rasulullah S.A.W mendengar tangisan Fatimah r.a, maka beliau pun berkata, 

" Janganlah kamu menangis wahai Fatimah, engkaulah orang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan aku."

Kemudian Rasulullah S.A.W pun mengizinkan malaikat Izrail masuk. Maka malaikat Izrail pun masuk dengan mengucap ,

" Assalamualaikum ya Rasulullah." 

Lalu Rasulullah S.A.W menjawab, 

" Wa alaikas saalamu, wahai Izrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut ruhku?" 

Maka malaikat Izrail berkata:

" Kedatangan saya adalah untuk menziarahimu dan mencabut ruhmu, itupun kalau engkau izinkan, kalau tidak diizinkan maka aku akan kembali. " 

Berkata Rasulullah S.A.W, 

" Wahai Izrail, di manakah kamu tinggalkan Jibril?"

Berkata Izrail: 

"Saya tinggalkan Jibril di langit dunia, para malaikat sedang memuliakan dia." 

Tidak berapa lama kemudian Jibril a.s pun turun dan duduk di dekat kepala Rasulullah S.A.W.

Apabila Rasulullah S.A.W melihat kedatangan Jibril a.s maka Rasulullah S.A.W pun berkata: 

" Wahai Jibril, tahukah kamu bahawa ajalku sudah dekat? "

Berkata Jibril a.s, 

" Ya aku tahu." 

Rasulullah S.A.W bertanya lagi, 

" Wahai Jibril, beritahu kemuliaan yang menggembirakan aku disisi ALLAH S.W.T".

Berkata Jibril a.s,

" Sesungguhnya semua pintu langit telah dibuka, para malaikat bersusun rapi menanti ruhmu dilangit. Kesemua pintu-pintu syurga telah di buka dan kesemua bidadari sudah berhias menanti kehadiran ruhmu."

Berkata Rasulullah S.A.W,

"Alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti." 

Berkata Jibril a.s,

" ALLAH S.W.T telah berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya aku telah melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau masuk terlebih dahulu, dan aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga."

Berkata Rasulullah S.A.W,

" Sekarang aku telah puas hati dan telah hilang rasa susahku." 

Kemudian Rasulullah S.A.W berkata:

" Wahai Izrail, mendekatlah kamu kepadaku."

Setelah itu malaikat Izrail pun memulai tugasnya, apabila ruh beliau sampai pada pusat, maka Rasulullah S.A.W pun berkata: 

" Wahai Jibril, alangkah dahsyatnya rasa mati." 

Jibril a.s mengalihkan pandangan dari Rasulullah S.A.W apabila mendengar kata-kata beliau itu. Melihatkan telatah Jibril a.s itu maka Rasulullah S.A.W pun berkata:

" Wahai Jibril, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?" 

Jibril a.s berkata: " Wahai kekasih ALLAH, siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut?" 

Anas bin Malik r.a berkata:" Apabila ruh Rasulullah S.A.W telah sampai di dada beliau telah bersabda, " Aku wasiatkan kepada kamu agar kamu semua menjaga solat dan apa-apa yang telah diperintahkan ke atasmu."

Ali r.a berkata:" Sesungguhnya Rasulullah S.A.W ketika menjelang saat-saat terakhir, telah menggerakkan bibir beliau sebanyak dua kali dan saya meletakkan telinga saya dengan Rasulullah S.A.W dengan berkata: " Umatku, Umatku."

Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa:

" Malaikat Jibril a.s berkata kepadaku, " Wahai Muhammad, sesungguhnya ALLAH S.W.T telah menciptakan sebuah laut di belakang gunung Qaf, dan di laut itu terdapat ikan yang selalu membaca selawat untukmu, kalau sesiapa yang mengambil seekor ikan dari laut tersebut maka akan lumpuhlah kedua belah tangannya dan ikan tersebut akan menjadi batu."

* SAAT-SAAT TERAKHIR RASULULLAH SALLAHU ALAIHI WASSALAM pernah saya kongsikan di blog saya. Jika ada yang silap mohon dibetulkan. Saya sangat suka membaca saat-saat terakhir baginda Sallahu alaihi wassalam, suka dalam erti kata ia cukup menginsafkan. Betapa junjungan yang mulia itu sangat menyayangi umatnya. Siapa sudi share silakan, tak perlu minta izin.

Santapan ruhani sebelum tidur.
Sayang semua kerana Allah.
Assalamualaikum
Melur Jelita
 

Isnin, 17 Jun 2013

Petikan menarik minat saya dari Ustaz Zaharuddin diharap semua kawan-kawan memahami maksudnya. Sebelum mendidik anak2 kita hendak mendidik diri kita dahulu...Ini yg saya pelajari semasa majlis ilmu pada 15/6/2013..... 

Ulama & Penjenayah Dibentuk Dari Rumah

teddybear.jpg


Minggu lalu, ketika menjamah makanan makan malam di sebuah restoran semasa dalam perjalanan ke airport, rakan-rakan yang bersama menghantar saya berbicara berkenaan pelbagai isu. Hj Rosman menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan kes jenayah yang wujud di Malaysia. Kes-kes sedemikian agak kurang berlaku di Bahrain.

Natijah dari kebimbangan tersebut, beliau bertanya
"pada pandangan ustaz, macam mana cara untuk selesaikan masalah ini"
Saya berfikir sejenak, sudah tentulah jawapan paling mudah bagi seorang ustaz adalah berkata
"kita kena kembali kepada Islam"
Tetapi disebabkan jawapan itu terlalu umum, maka saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan idea itu.
"Ia perlukan penyelesaian secara kolektif, semua pihak perlu ada kesedaran untuk merubah keadaan" demikian jawapan permulaan saya.
"Namun yang paling utama perlu berperanan, adalah ibu bapa atau keluarga"
Saya mengulang kembali ingatan sedih dan pedih kita kepada kes Al-Marhumah Nurin Jazlin yang dibunuh kejam dan masih gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa Malaysia sehingga kini.
"Bukankah Nurin dibunuh oleh seorang manusia?, sudah tentunya manusia ini dilahirkan ke dunia oleh seorang ibu dan pastinya dia punyai bapa dan keluarga"
"Namun apakah yang menjadikannya sebegitu kejam?" saya menrang sambil mengajak berfikir.
Memang benar, pelbagai faktor menyumbang, namun bagi saya ia bermula dari hasil didikan pertama ibubapa, sesuai dengan apa yang disabdakan oleh nabi s.a.w
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya? (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Sudah tentu juga ibubapa yang berperanan untuk mencorakkan seorang bayi sehingga menjadi seorang Muslim, mukmin yang bertaqwa.
Kita tidak nafikan faktor persekitaran yang sentiasa menghurungi anak-anak kita khususnya di sekolah, melalui internet, rakan-rakan, games, TV dan lainnya.
JANGAN DIDIK ANAK SECARA SPONTAN
Namun tidak boleh dinafikan, ibubapa mempunyai saham terbesar. Anak-anak adalah satu tugas terbesar buat ibubapa yang sering diabaikan. Sedangkan mereka semua adalah suatu aset dan ‘pelaburan' terpenting. Namun amat kerap mereka menjadi mangsa kurang teliti, kurang perhatian dan tiada perancangan jitu oleh sang ibubapa.
Akhirnya, sebuah aset yang ditangani secara lebih kurang akan menghasilkan hasil yang bukan lebih kurang juga, tetapi hasil lebih buruk malah membawa padah.
Memang benar, kegagalan merancang pendidikan anak-anak adalah sebuah kegagalan masa depan.
Ramai yang merasakan, pendidikan anak-anak boleh dibuat secara spontan, bergantung kepada hari dan masa. Dalam kata lain, bergantung kepada keadaan.
Hakikatnya, anak tidak boleh dididik secara spontan, ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah dibentuk. Mendidik mereka seperti mengendalikan sebuah syarikat awam yang sentiasa memerlukan plan induk, teknik khas, contingency plan dan monitoring system.
Kerana itu kita perlukan seorang Chief Operating Officer (COO) untuk anak-anak. Menurut teori ideal Islam, COO yang paling ideal bagi pendidikan anak-anak adalah seorang IBU. Bapa bertindak sebagai Chief Executive Officer (CEO) yang mana,, ruang lingkup tugasan, peranan dan tanggungjawabnya lebih besar dan menyeluruh.
"Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata) atau RM 5,000 sebulan si ibu"
Anak-anak diswastakan kepada nursery yang kurang pengalaman. Kurang penghayatan, kurang sensitiviti dan seumpamanya.
Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu kita selaku ibubapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih di takuk lama.
WAHAI IBUBAPA, HORMATI ANAKMU NESCAYA KAMU DIHORMATINYA
"Treat your child with respect" itu saranan Richard Templer, penulis buku parenting yang popular.
Saya amat selesa dengan saranan tersebut, seorang ibubapa yang bijak perlu mengendalikan dan melayan anak-anak mereka dengan penuh penghormatan. Kelak anak-anak akan mencontohi tatacara yang sama.
Biasanya apabila orang dewasa meminta bantuan seorang dewasa yang lain, mereka akan menggunakan bahasa yang sopan. Itu adalah kerana mereka sedar, yang diminta itu tidak mesti untuk membantu, kita perlukan ihsan mereka untuk membantu. Atas sebab itu, kata-kata sopan digunakan, demi memujuk dan mearih ihsan.
Bukankah elok jika cara yang sama untuk anak-anak kita, cuba kita jangan merasakan si anak sentiasa WAJIB untuk mematuhi arahan kita. Kelak nanti si anak apabila meminta kepada ibubapanya atau orang lain, dirasakan mereka semua wajib menurut arahannya.
Si anak juga kerap meminta ibubapanya, mainan itu dan ini. Namun sedikit yang diperolehi.
Maka si anak akan menghadapi kekeliruan.
"ibubapa minta, semua aku kena buat, aku minta, ibubapa tak buat semua pulak"
Lebih teruk dari itu, arahan dari ibubapa kerap dihamburkan dengan kata-kata perintah tanpa hormat dan pujukan serta ihsan. Contohnya:
"makan tu"
"Habiskan ini!"
"Pergi mandi!"
"Cepat masuk kereta!"
"Gosok gigi!"
"Kenapa sepah sangat ni, cepat bersihkan!"
"Heiii, kenapa buat macam tu!"
Itulah yang kerap dilaungkan oleh ibubapa, memekik melolong setiap pagi dan petang serta malam.
Setiap hari anak akan mendengar lolongan kuat menerjah telinga dan hatinya. Kalimah-kaalimah arahan dan larangan sebegitu sudah terlalu biasa, lali hingga ia menjadi masak dan sebati dek pemikiran dan hatinya.
Pada masa yang sama, kita akan dengar kedapatan ibubapa yang mengeluh kerana anaknya kurang beradab ketika remaja dan dewasa. Sedarkah bahawa si anak sebenarnya telah ‘berjaya'. Ya berjaya dalam mencontohi model yang diterapkan oleh ibubapanya sendiri. Namun kini ibubapa merasa sedih dan tidak selesa. Sedarkah ibubapa bahawa si anak yang dibesarkan sedemikian rupa menyangka itulah cara arahan dan permintaan yang terbaik. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka?.
Justeru, lebih kasar sang ibubapa terhadap anaknya, akan kasar jualah anak terhadap ibubapanya dan orang lain, khususnya di ketika remaja dan dewasa. Malah lebih mendukacitakan, itulah cara yang akan dibawa ke sekolah, mempengaruhi kawan-kawan dan akhirnya menjadi penjenayah yang merasakan tindakannya ‘ok' atau tidak bersalah. Puncanya dari cara didikan dan layanan ibubapa yang kasar.
Patut kita sedari di awal bulan hijrah 1431 ini, bahwa anak layak mendapat sebuah penghormatan, semudah-mudah penghormatan adalah dengan memilih ayat dan kata-kata yang manis didengari, intonasi yang sedap didengar. Cuba tambah sikit sahaja sebagai contoh
"boleh tolong ibu ambilkan barang itu"
"Adik baikkan, tolong ummi kemaskan meja ini boleh?"
Dan pelbagai lagi bentuk ayat yang serupa dengannya.
Di samping itu, jangan sesekali memungkiri janji,, membohongi anak dan lain-lain kelakuan negaitf. Selain anak akan mengambil contoh, mereka juga akan merasa kurang penting berbanding yang lain.
TUNJUKKAN PERHARGAAN TERHADAPNYA
Juga menjadi kebiasaan ibubapa hari ini. Bangun sahaja anak dari tidur dan terus dia menghala ke dapur.
Ibu yang terlihat anak, ayat pertamanya :
"hah apa lagi tu, dah gosok gigi, pergi basuh muka dan gosok gigi!"
"Lepas tu pergi buat itu ini bla la bla"
"Mak boleh tolong angah buat kerja ini tak" pinta si anak lembut
"Ehhh nanti-nanti!, mak tengah sibuk goreng ayam ini" mungkin itu jawapan si ibu.
Terasa dalam hati si anak, dirinya ibarat tidak berharga, kemunculannya hanya bersedia untuk diarah dan ditengking.
Permintaan tidak banyak erti buat si ibu, ‘gorengan ayam lebih utama dari perminataannya.
Malah ketika pulang dari sekolah juga, ibubapa tidak menyambut tetapi dibiarkan anak begitu sahaja.
Tahap si anak ibarat sebuah perabot buruk dan pekakas rumah sahaja. Wujudnya tidak disedari, hilangnya tidak diendah.
Pastinya, anak akan menyimpan itu sebagai standard kehidupan. Nanti kelak itu jugalah yang diperlakukan di masa hadapan.
Kalau ada perhatian dari ibubapa, mungkin hanya perintah demi perintah, larangan demi larangan sahaja.
Justeru, sudah sampai masa kita mengubahnya, kita berhijrah.
Sedarilah bahawa, tatkala kita sedang melakukan tugasan harian di rumah, mengemas baju, memasak dan sebagainya, tatkala anak muncul, anak punyai priority yang lebih tinggi. Jangan dijadikan alasan, tengah buat kerja, basuh baju, gosok baju, jahit baju dan lainnya, kerana tatkala anak muncul, itulah kerja yang paling besar keutamaannya untuk dipenuhi.
Tunjukkan rasa seronok dan gembira kita selaku ibubapa ketika melihatnya, sewaktu pulang dari sekolah (atau sewaktu kita pulang dari kerja), melihatnya di awal pagi dan berpisah dengannya ketika waktu malam untuk tidur. Ia boleh dilakukan dengan ucapan-ucapan yang baik, atau sedikit pelukan dan sentuhan tanda mereka penting buat kita.
KESIMPULAN
Semoga dengan sedikit peringatan untuk diri ini, kita semua mampu berubah menjadi ibubapa yang berperancangan dan memperbaiki pendidikan anak-anak.
Kerana anak-anak itulah kelak bakal menjadi sama ada Imam besar, Pemimpin Negara, Ulama Besar, atau sebaliknya menjadi perompak terulung, penjenayah bersiri dan pengkorup unggul. Nauzubillah.
Perbaikilah masyarakat kita melalui kesedaran peranan ibubapa. Jenayah hakikatnya bermula dari rumah dan perlu ditangani bermula di rumah juga.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman